Bonda Tidak Izin – Nik Omar

Nik Omar, anak bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengesahkan tidak akan menyertai PAN dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Beliau membuat keputusan itu selepas akur dengan kehendak ibunya yang tidak merestui Nik Omar terlibat dengan politik.

“Semua bergantung kepada bonda, selagi bonda tidak izin, bonda minta tidak terlibat, kita kena terima. Bonda melihat mungkin kerana berlaku pertembungan.

“Bila ditanya kenapa bonda? Saya nak tunjuk apa jua yang kita lakukan pentingnya mendapat keizinan dan restu ibu,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Khabar angin sebelum ini mengatakan Nik Omar akan menyertai PAN iaitu parti serpihan PAS yang dibentuk hampir tiga tahun lalu.

Malah, namanya dicalonkan sebagai Menteri Besar Kelantan sekiranya Pakatan Harapan berjaya menawan negeri itu.

Nama Nik Omar tiba-tiba mewarnai politik Kelantan selepas Pengerusi PAN negeri, Wan Abd. Rahim Wan Abdullah memaklumkan anak kedua Allahyarham Nik Abdul Aziz itu akan berhijrah ke PAN.

Difahamkan, Nik Omar merupakan Pengetua Maahad Darul Annuar, Pulau Melaka dan tidak mempunyai apa-apa jawatan di dalam PAS.

PAN mencadangkan beliau bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka iaitu kerusi yang pernah ditandingi Nik Abdul Aziz. – 16 April 2018.