‘Bukan Tunai… Cek, Bukan iPad… Samsung’

Antara tunai dan cek, dan antara iPad dan Samsung pejabat Menteri Besar selangor cuba memutar belit agihan bantuan Datuk Seri Azmin Ali di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa dan Parlimen Gombak yang diwakili Azmin.

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong berkata, laporan sebuah portal mengenai perkara itu terdapat beberapa kesalahan serius dan andaian kurang tepat.

Beliau berkata, Azmin tidak pernah mengagihkan wang tunai dan iPad, sebaliknya bantuan itu adalah berbentuk cek manakala gajet pula berjenama Samsung bukan iPad.

“Tiada tunai diberi, hanya cek; bukan iPad, hanya Samsung mampu milik,” katanya.

Tambahnya, pengagihan itu dilangsungkan dalam satu program rasmi yang diuruskan menerusi saluran yang betul.

Beliau berkata, sebutan ‘cash’ di dalam laporan berkenaan memberi gambaran  bahawa peristiwa yang berlaku itu adalah aktiviti politik semata-mata.

Katanya, dokumen rasmi mengenai perkara itu boleh disemak di pejabat kawasan wakil rakyat, Pejabat Daerah Gombak dan Unit Perancang Ekonomi Negeri dan semuanya tertakluk pada audit. – 16 April 2018.