JPNK Akan Buat Laporan Polis Dakwaan Husam

Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) akan membuat satu laporan polis berhubung dakwaan wakil rakyat Salor Husam Musa berhubung satu mesyuarat  Jawatankuasa Kecil Perhutanan (JKKP) bagi meluluskan projek pembalakan di negeri itu.

Pengarah JPNK Datuk Zahari Ibrahim menafikan perkara itu sambil menyifatkan ia sebagai dakwaan palsu.

“Saya merujuk kenyataan Husam dalam nota bantahan dan surat yang ditujukan kepada Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dan penasihat undang-undang Kelantan yang berkisar mengenai mesyuarat JKKP yang diadakan pagi ini.

“Dakwaan kononnya ada kelulusan kawasan pembalakan yang luas akan dipertimbangkan dalam mesyuarat ini adalah tidak benar sama sekali,” katanya kepada media di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Pada 12 April, Husam yang juga Naib Presiden PAN menghantar surat kepada Ahmad sebagai menteri besar sementara supaya tidak meluluskan kawasan balak ketika menjadi kerajaan sementara.

Di dalam kandungan surat itu, Husam berkata, beliau difahamkan Menteri Besar ada memanggil JKKP bermesyuarat pada hari ini untuk meluluskan permohonan-permohonan melibatkan hutan simpan dengan keluasan yang amat besar pada mesyuarat itu.

Zahari berkata, hanya beberapa “perkara biasa” dibincangkan dalam mesyuarat tersebut antaranya menimbang permohonan industri pemprosesan kayu dan isu-isu semasa perhutanan berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan khazanah hutan.

“Kerajaan negeri masih mengekalkan rekod tidak pernah memberi kelulusan baharu kawasan pembalakan terutamanya penubuhan ladang hutan dalam hutan simpanan kekal sejak tahun 2013,” katanya. – 16 April 2018.