PRU14: Mat Sabu Seru Hukum PAS

Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyeru penyokong serta ahli PAS supaya menghukum parti Islam itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau membuat seruan itu kononnya pemimpin tertinggi PAS telah dibeli oleh UMNO.

“PAS ahlinya cukup baik, tetapi pemimpinnya telah dibeli oleh UMNO. Ahli PAS mesti hukum pemimpin kamu. Tolonglah jangan undi PAS kerana pemimpinnya telah menjual kamu (ahli PAS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu ceramah di Bulatan Lapangan Terbang Padang Mat Sirat, Langkawi malam tadi.

Hadir sama Tun Dr. Mahathir Mohamad; Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; bekas Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dalam pada itu, Mohamad Sabu yang kini Presiden PAN tidak ubah seperti ‘membodek’ Mahathir kononnya pada zaman pemerintahan beliau suasana di negara ini lebih demokrasi berbanding sekarang.

Mohamad Sabu pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa zaman Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Di bawah pemerintahan beliau juga, pemimpin pembangkang langsung tidak diberi kebebasan bersuara, media dikawal selain pelbagai kemusnahan lain. – 16 April 2018.