Ada Ahli Tidak Setuju Korban Logo Roket

DAP mengakui ada ahli parti itu tidak bersetuju mengorbankan logo roket sebaliknya menggunakan logo dan simbol PKR untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Thomas Su Keong Siong berikutan itu turut mengakui bahawa para pemimpin parti itu terpaksa turun padang untuk menjelaskan perkara tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, parti tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

“Perkara ini tidak mudah, kita banyak pertimbangkan isu-isu sentimen ahli veteran sehingga kita perlu buat keputusan berbeza (tidak menggunakan logo roket).

“Bukan semua (ahli sokong), tak boleh dapat semualah. Kita perlu jelaskan perkara ini ke akar umbi,” katanya.

Pada 6 April lalu, Pakatan Harapan bersetuju untuk menggunakan logo dan simbol PKR untuk menghadapi PRU-14. – 17 April 2018.