Bekas Pengerusi SPR Calon PAN DUN Kota Lama?

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman diramal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama.

Sebelum ini ada spekulasi mengatakan Naib Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu akan bertanding di kerusi Parlimen Kota Bharu.

Menurut laporan sebuah portal yang memetik sumbernya berkata Abdul Rashid memainkan peranan penting jika Pakatan Harapan berjaya menawan Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Bekas pengerusi SPR itu akan memainkan peranan penting jika Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas kuasa daripada PAS,” kata sumber itu sebagaimana dilaporkan portal berkenaan.

Selain kubu kuat PAS, DUN Kota Lama merupakan satu-satunya kerusi campuran di Kelantan dengan komposisi pengundi Melayu 63 peratus dan Cina (34 peratus).

Kerusi tersebut kini disandang oleh Datuk Anuar Tan Abdullah (PAS) sejak 1999.

Pada PRU13, Anuar menewaskan calon BN, Tan Ken Ten dan calon Bebas Mohd. Zakiman Abu Bakar dengan majoriti 6,618.

Anuar mendapat 14,269 undi, Tan Ken Ten (7,651) manakala Mohd. Zakiman (152).

Pada PRU14 DUN Kota Lama bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, Pakatan Harapan dan PSM. – 17 April 2018.