Dr. Mahathir Bertanding Langkawi Untuk Kekalkan Kuasa Dan Kekayaan Keluarga

Pengumuman Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bertanding di Parlimen Langkawi sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak lebih hanyalah untuk membolehkan pemimpin berusia 93 tahun itu terus mengekalkan kuasa dan kekayaan keluarganya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azlan Man berkata, hasrat calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan itu sudah diduga dan bukanlah merupakan satu kejutan.

“Dahulu beliau (Dr. Mahathir) dah ambil isi-isi, sekarang kuah (Dewan Undangan Negeri Kuah) pun hendak diambil. Saya tidak tahu apa lagi yang tinggal,” katanya.

Beliau diminta mengulas pengumuman Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bertanding di Parlimen Langkawi sekali gus mungkin akan tersenarai sebagai calon tertua dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Azlan seterusnya turut mempersoalkan kredibiliti Dr. Mahathir untuk mentadbir sebuah negara, yang pada usianya sekarang telah terbukti gagal menguruskan sebuah perniagaan rangkaian kedai roti premium.

Katanya, Dr. Mahathir juga dinasihatkan supaya tidak menipu rakyat dengan menafikan memiliki saham dalam perniagaan berkenaan.

“Bagaimanakah beliau mampu mentadbir sebuah negara. Jadi cukup-cukuplah, saya rasa rakyat mampu melihat dan berfikir dengan matang,” ujar beliau. – 17 April 2018.