Istana Tidak Memihak Mana-Mana Parti Politik – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan bahawa istana merupakan pihak berkecuali yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik tanah air.

Baginda bertitah, dalam suasana menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), istana sentiasa akur kepada kehendak rakyat, selaras dengan sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan yang diguna pakai di negara ini.

“Beta ingin menekankan kepada semua pihak bahawa istana berkecuali dalam persaingan politik yang wujud dalam kalangan rakyat. Istana merentasi semua agama, parti politik dan warna kulit.

“Istana tidak memihak atau memberi sokongan kepada parti A atau parti B. (Sebaliknya) Istana hanya berpihak kepada Perlembagaan dan undang-undang yang dilaksanakan secara adil dan saksama,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra seterusnya bertitah, kewajipan istana adalah untuk membimbing rakyat kepada kesantunan budi dan keluhuran adat yang mulia.

Titah baginda, istana juga pada setiap masa berperanan memberi nasihat kepada kerajaan dan pentadbirannya untuk berlaku adil dan saksama kepada semua rakyat, tanpa mengira fahaman politik.

“Ini termasuk melaksanakan program yang meninggikan maruah dan harga diri rakyat. Kepimpinan istana ialah untuk semua rakyat secara saksama,” titah baginda. – 17 April 2018.