Penganalisis Ramal PAS Mungkin Kalah Teruk, Hilang Kelantan

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bakal menyaksikan PAS kalah teruk malah, bakal kehilangan Kelantan yang diperintahnya hampir tiga dekad.

Penganalisis politik Profesor Dr. Mohammad Agus Yusoff ketika meramalkan keadaan itu berkata, pilihan raya kali ini hanya seolah-olah menampakkan pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan.

“PAS adalah parti yang akan kalah teruk dalam PRU ini (dan) kerajaan PAS akan jatuh di Kelantan.

“Alasan kenapa saya berpandangan sedemikian telah saya hujahkan dalam kenyataan saya sebelum ini,” kata Agus menerusi Facebooknya hari ini.

Dalam reaksinya berkaitan perkembangan politik negara kira-kira setahun lalu, Agus menyenaraikan UMNO mampu merampas Kelantan pada pilihan raya umum akan datang berikutan kegagalan kerajaan PAS negeri itu mengatasi masalah rakyat.

Katanya, berbanding PAS, UMNO lebih peka terhadap isu-isu rakyat selain kedudukan kewangan parti itu yang lebih kukuh.

Mengenai Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN di negeri itu pula, beliau berkata, kedua-dua parti tersebut perlu memperkasakan aktiviti mereka dalam mendekati rakyat.

Dalam pada itu, beliau berharap semua parti yang ada dapat berpolitik secara beretika walaupun dengan suasana pilihan raya yang sememangnya ‘panas’.

“Pandangan saya betul pada hemat saya dan mungkin salah pada hemat yang lain…Semoga PRU berjalan dengan baik, dan kita tunggu saja keputusannya 9 Mei nanti,” ujarnya. – 17 April 2018.