‘Raja Bomoh’ Umum Tanding Parlimen Bagan Datok

‘Raja Bomoh’ hari ini mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Dagan Datok dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Pengumuman itu sekali gus menyaksikan ‘Raja Bomoh’ atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin mencabar kerusi yang disandang Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ibrahim memberitahu, dia berhasrat untuk bertanding pada pilihan raya umum kali ini selepas mendengar rungutan orang ramai berhubung ekonomi negara selain kealpaan wakil rakyat yang tidak mempedulikan kebajikan rakyat setelah mendapat kemenangan dalam pilihan raya.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah diminta orang ramai supaya bertanding di beberapa kawasan termasuklah Bagan Datok, Hutan Melintang dan Simpang Empat.

“Mereka meminta saya jadi calon dalam pilihan raya lalu, tapi saya tolak kerana saya kata kita tengok pemimpin baru-baru yang menjaga mereka.

“Tetapi (kini) banyak juga rungutan mereka tentang ekonomi yang tidak begitu baik,” katanya dalam sidang media di Ipoh hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Ibrahim akan bertanding dua kerusi di Perak iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi dan parlimen Teluk Intan.

Dalam pada itu, Ibrahim berjanji, sekiranya menang, dia akan sedekahkan gajinya kepada rakyat tanpa mengira kaum.

“Lima tahun saya tak mahu gaji. Buat apa nak gaji? Saya dah terkenal. Junjung kelapa dua biji satu dunia dah kenal.

“Buat apa bertanding? Saya ahli korporat. (Tapi) saya bertanding kerana saya jiwa rakyat. Saya kesian tengok rakyat pelbagai bangsa. Perjuangan saya kerana Allah,” katanya.

Pada PRU13, Ahmad Zahid mempertahankan kerusi tersebut menewaskan calon PKR, Madhi Hasan dengan majoriti 2,108. – 17 April 2018.