Boleh Cari Parti Lain Kalau Tak Percaya PAS – Takiyuddin

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, anak bekas Mursyidul Am PAS Nik Omar Nik Abdul Aziz bebas memilih mana-mana parti yang dipercayainya.

Beliau berkata, sekiranya Nik Omar sudah tidak rasa percaya dengan PAS, beliau boleh berbuat demikian mengikut pilihan sendiri.

“Kalau tidak ada kepercayaan kepada PAS mereka boleh cari parti lain.

“Tapi saya tidak pernah dengar Nik Omar bercakap tentang perkara yang melanggar atau bercanggah dengan perlembagaan parti.

“Semua orang yang masih menjadi ahli PAS perlu akur terhadap perlembagaan PAS dan salah satu tidak membuat kenyataan atau tindakan yang bercanggah kepentingan PAS itu sendiri serta boleh menjatuhkan imej, maruah dan kepercayaan kepada PAS,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

Takiyuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nik Omar semalam yang dilihat berpihak kepada Pakatan Harapan (PH).

Dalam kenyataan tersebut, Nik Omar berkata, PH berpeluang merampas kerajaan PAS Kelantan selain menyarankan agar parti Islam itu menyedari kelemahannya.

Mengulas lanjut, Takiyuddin bagaimanapun menyifatkan kenyataan Nik Omar itu sebagai pandangan peribadi beliau.

“Itu pandangan peribadi beliau dan saya sendiri tak dengar, hanya cakap-cakap orang dan semua orang ada peluang,” katanya.

Kelmarin, anak kedua Allahyarham Nik Abdul Aziz itu mengesahkan tidak  akan menyertai parti serpihan PAS iaitu PAN kerana ibunya tidak merestui beliau terlibat dengan politik. – 18 April 2018.