PAS Selaras Baiah, Tiada Lagi Talak Tiga Di Kelantan

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu, parti itu tidak lagi mengamalkan baiah cerai talak tiga terhadap isteri kepada calon mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Beliau berkata, Majlis Syura Ulama PAS telah membuat penyelarasan lafaz baiah untuk seluruh negara.

“Kali ini kita selaraskan baiah untuk seluruh negara, tiada tambahan.

“Tiada perbezaan (baiah) antara Kelantan dan calon di negeri-negeri lain,” katanya selepas program Ceramah Pra Pengisytiharan Calon PAS PRU14, di Wakaf Bharu Tumpat, Kelantan malam tadi.

PAS Kelantan sebelum ini mengenakan baiah tambahan iaitu taklik cerai talak tiga ke atas isteri kepada ahlinya yang menjadi calon pada pilihan raya lalu.

Ia bertujuan bagi mengikat kesetiaan ahli supaya tidak berpaling tadah atau melompat parti.

Tuan Ibrahim berkata, bagi calon-calon daripada parti lain dalam Gagasan Sejahtera pula satu akur janji perlu ditandatangani oleh mereka yang menjadi calon.

“Dengan rakan-rakan dalam Gagasan Sejahtera kita ada akujanji yang perlu ditandatangani.

“Akujanji ini agar mereka patuh, sedia, tidak khianat dan istiqamah dengan perjuangan parti. Ini termasuk Dewan Himpunan Penyokong PAS yang ada akujanji juga,” katanya. – 19 April 2018.