Ketua Dewan Ulama PAS Pahang Tanding Di Perlis

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mokhtar Senik diumumkan bertanding di kerusi Parlimen Padang Besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekali gus menjadi satu-satu calon ‘import’ parti itu di Perlis.

Pengumuman pencalonan Mokhtar yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pahang yang dianggap mengejutkan itu, dilakukan oleh Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin dalam majlis pengisytiharan calon PRU-14 di Madrasah Addiniah Al-Islamiah (MADI), Jejawi Dalam, Perlis.

Dalam masa sama, Hashim turut mengumumkan calon PAS yang bakal bertanding di semua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua Parlimen iaitu Padang Besar dan Kangar.

Manakala calon PAS bagi Parlimen Arau tidak diumumkan pada majlis itu dan dijangka kerusi tersebut akan diwakili oleh Hashim sendiri yang pengumuman mengenainya bakal dilakukan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu majlis yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Pengumuman tersebut sekali gus menyaksikan PAS mengambil balik semua
tujuh kerusi yang dipinjamkan mereka kepada PKR dan DAP di kerusi DUN Indera Kayangan; Titi Tinggi; Chuping; Mata Ayer; Sena; Kuala Perlis dan Tambun Tulang dalam pilihan raya lalu. – 20 April 2018.