Manifesto BN Kelantan Cetusan Idea Rakyat

Barisan Nasional (BN) Kelantan menyenaraikan tujuh jaminan utama di dalam manifesto PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) yang merangkumi 60 perkara untuk negeri itu dan masa hadapannya.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata,  ia merupakan satu agenda pembangunan seimbang dari aspek duniawi dan ukhrawi, yang akan dilaksanakan menerusi pendekatan berteraskan Maqasid Syariah.

“Segala cetusan idea dan keluhan rakyat yang didengari kita terjemahkan ke dalam pelan komprehensif yang terkandung dalam Manifesto PRU14 BN Kelantan ini,” katanya semasa berucap dalam majlis pelancaran Manifesto PRU14 BN Kelantan di Kota Bharu, malam ini.

Mustapa berkata, tujuh jaminan itu ialah memartabatkan syariat dan syiar Islam, membangun ekonomi mapan, mengutamakan kebajikan rakyat, memperkasakan belia, menambahbaik infrastruktur, melestarikan alam sekitar dan membela kaum minoriti.

Beliau berkata, kerajaan BN percaya mampu merealisasikan tawaran tersebut dengan sebaik mungkin sekiranya diberi mandat mentadbir negeri itu pada PRU14 nanti.

Katanya, Kelantan memerlukan satu transformasi yang radikal justeru, seluruh rakyat negeri ini perlu bangkit memberi sokongan kepada BN dalam usaha merealisasikan pelan hala tuju pembangunan demi Kelantan.

“Saya berikrar bahawa seandainya BN membentuk kerajaan negeri yang baharu nanti, kita akan amalkan pendekatan yang terbuka. Niat kami cuma satu, untuk membangunkan Kelantan yang tercinta,” katanya.

Mustapa memberitahu, satu Majlis Perundingan akan ditubuhkan sebagai platform bagi menghimpunkan golongan profesional, cendekiawan dan agamawan untuk  mencetuskan idea-idea terbaik bagi menjadikan Kelantan sebuah negeri yang terbilang.

Dalam pada itu, beliau menyelar tohmahan sesetengah pihak kononnya Islam akan terpinggir dan dipijak sekiranya BN berkuasa di negeri ini.

“Walhal Kerajaan BN lah selama ini yang mengetengahkan konsep wasatiyah dalam menegakkan syariat dan syiar Islam, sehingga Malaysia dikenali di mata dunia sebagai model negara Islam progresif,” katanya. – 20 April 2018.