Permainan Kotor Pembangkang Sekali Lagi Tidak Berhasil – Azlan Man

Permainan kotor dan jijik pembangkang untuk sekali lagi menipu rakyat dengan mengaitkan kapal Equanimity mempunyai kaitan dengan syarikat 1Malaysian Development Berhad (1MDB) tidak berhasil apabila perkara itu
dibuktikan salah oleh Mahkamah Pengadilan Negeri Jakarta Selatan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azlan Man berkata, seperti sedia maklum, pembangkang ini akan melakukan apa sahaja untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan sekalipun isu yang dibawa mereka tidak pernah benar.

Jesteru, beliau menyeru kepada rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan hasutan pembangkang selain perlu mengkaji sesuatu isu yang dibangkitkan mereka sebelum mengambil keputusan percaya.

“Kita bersyukur keputusan mahkamah itu dibuat awal sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sekali gus membolehkan kita menerangkan kepada rakyat fakta yang benar.

“Jika berlaku sebaliknya, pembangkang pasti akan menggunakan isu tersebut sebagai modal untuk menipu rakyat,” katanya.

Mahkamah di Indonesia sudah mengesahkan bahawa Equanimity (Cayman) Ltd. sebagai pemilik kapal mewah Equanimity dan tiada kaitan sama sekali dengan 1MDB.

Tambah Azlan, rakyat perlu menggunakan kebijaksanaan menilai maklumat yang sering kali dilontarkan oleh pembangkang sebelum mempercayainya bulat-bulat.

“Pembangkang sebelum ini sudah beberapa kali membawa isu untuk memburuk-memburukkan kerajaan dan akhirnya perkara yang dibawa itu dibuktikan tidak benar. Jadi, adakah kita akan percayai lagi dengan pembangkang ini,” katanya. – 20 April 2018.