Demi Kelate

BIRU…seindah warnanya melimpah di segenap ruang dataran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di Wakaf Che Yeh pada Khamis malam.

Ruangnya mula dipenuhi seawal jam 7 petang. Bukan kerana sebuah pesta atau festival, tetapi cetusan gelombang Tanah Serendah Sekebun Bunga lewat politik kaku selama hampir tiga dekad.

Musim yang berlalu adalah satu sejarah, namun sedih dan luka masih belum terlambat untuk diubati. Penawar resah serta gelisah hampir tiga dekad pastinya tercatat dalam satu peristiwa yang telah berlangsung pada malam itu.

Mana tidaknya, manifesto PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) BN Kelantan yang dilancarkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed malam itu bakal diangkat sebagai sebuah akujanji. Dan manfaatnya pasti dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat.

Bukan sekadar pemanis atau juadah pi­lihan raya. Bagi BN Kelantan khususnya, manifesto wajib terpahat di dalam sanubari dan menjadi sumpah setia untuk membangunkan negeri bagi tempoh lima tahun ke hadapan.

Secara keseluruhannya, manifesto BN Kelantan mempunyai 60 tawaran yang diletakkan di bawah tujuh jaminan utama. Ini merupakan satu agenda pembangunan yang seimbang dari aspek duniawi dan ukhrawi, yang akan dilaksanakan menerusi pendekatan berteraskan Maqasid Syariah.

Kita cuba menyorot tujuh jaminan dengan 60 tawaran itu agar tidak mudah terkeliru dengan retorik-retorik lain yang pastinya mungkin muncul tanpa diduga selepas pelancaran itu.

Jaminan 1: Memartabatkan syariat dan syiar Islam

Jaminan pertama dari BN dalam memacu Kelantan dalam tempoh lima tahun ke hadapan adalah untuk memartabatkan syariat dan syiar Islam. Slogan agama tidak akan sama sekali digunakan untuk menutup kelemahan, sebaliknya menumpukan usaha ke arah pelaksanaan dasar-dasar untuk menegakkan syariat dan syiar Islam di negeri itu.

BN beriltizam dan berusaha untuk mengembalikan zaman kegemilangan Kelantan sebagai Pusat Keilmuan Tradisi Islam. Sekali gus negeri peninggalan ulama’ Tok Kenali akan dibangunkan sebaiknya.

Demikian juga masalah rintihan guru-guru Yayasan Islam Kelantan (YIK), yang mengadu mereka diabaikan. Untuk ini, BN berjanji, kebajikan mereka akan diutamakan dengan memperkasakan YIK secara keseluruhannya.

Jaminan 2: Membangunkan ekonomi mapan

BN komited bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah ekonomi yang membelenggu Kelantan hari ini, tetapi juga untuk mempersiapkan negeri dalam mendepani cabaran ekonomi masa hadapan.

BN akan mempergiatkan promosi Kelantan sebagai destinasi pelaburan dan merancakkan penglibatan sektor swasta khususnya dalam sektor pembuatan dan industri selain turut memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sebagai tulang belakang dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Dengan adanya peningkatan pelaburan, pertumbuhan ekonomi setempat akan dirancakkan maka lebih banyak peluang pekerjaan baharu dapat diwujudkan.

Jaminan 3: Mengutamakan kebajikan rakyat

Agenda pembangunan ekonomi yang dibawa adalah bersifat inklusif, yang akan memastikan rakyat mendapat manfaatnya bukan bersifat menguntungkan sebelah pihak semata-mata.

Sebagai contoh, program Ladang Rakyat yang didakwa tidak menguntungkan. Jadi, BN berjanji akan mengkaji semula perjanjian Projek Ladang Rakyat ini agar sebahagian tanah dapat dikembalikan kepada rakyat.

Di bawah jaminan ini juga, BN tidak melupakan soal kebajikan masyarakat Orang Asli. Isu ketidakadilan yang membelenggu masyarakat Orang Asli hari ini bukan sekadar isu tempatan semata-mata, tetapi turut dibangkitkan media antarabangsa.

Dalam hal ini, BN berjanji akan mewartakan Tanah Adat Orang Asli. Di samping itu juga, pendidikan berkualiti dan latihan kemahiran juga akan terus disediakan bagi menaiktaraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli agar mereka tidak ketinggalan dalam dunia hari ini.

Jaminan 4: Memperkasakan belia

Sejak hampir 28 tahun rakyat sering tertipu dengan kerajaan yang ada. Pemerkasaan golongan belia gagal dilestarikan, kerana janji hanya tinggal janji.

Menyedari hakikat itu, sekiranya berjaya menawan Kelantan pada PRU14 ini BN akan pastikan golongan belia sebagai pewaris masa hadapan ini akan terus diberi perhatian.

Untuk itu beberapa tawaran dikemukakan antaranya bantuan khas kepada anak-anak Kelantan yang berjaya memasuki IPTA dan membina stadium bertaraf antarabangsa dan kompleks sukan negeri yang baharu di Machang.

Jaminan 5: Menambahbaik infrastruktur

Dalam tempoh tersebut juga, rakyat sering mengeluh mengenai kesesakan trafik di Kelantan terutamanya pada waktu puncak atau musim perayaan dan musim cuti.

Rakyat memerlukan infrastruktur berkualiti tinggi untuk meningkatkan perhubungan. Bagi memastikan setiap rakyat mendapat manfaat kemudahan perjalanan yang lebih selesa, BN akan membangunkan hab pengangkutan awam di setiap jajahan selepas ini.

Dengan terlaksananya infrastruktur-infrastruktur ini, rakyat mampu meneroka lebih banyak potensi ekonomi negeri ini. Kelantan tidak lagi akan ketinggalan, sebaliknya akan terus mara ke hadapan mendepani zaman dan menikmati arus pembangunan ekonomi negara.

Jaminan 6: Melestarikan alam sekitar

Dalam konteks ini, proses pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar tidak akan dipandang remeh. BN akan menghentikan aktiviti pembalakan buat sementara waktu dan mengkaji semula pemberian lesen pembalakan. Cukup sudahlah hutan Kelantan digondol dan ditarah. Kita tidak boleh lagi memejamkan mata dan berpeluk tubuh dalam hal ini.

Demikian juga dalam masalah air bersih yang menjadi isu sejak sekian lama. Bagi mengatasi kemelut itu, BN akan meningkatkan keberkesanan perkhidmatan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB). Dalam masa lima tahun ke hadapan, BN berjanji akan meningkatkan kadar liputan air terawat kepada 80 peratus di seluruh negeri Kelantan.

Jaminan 7: Membela kaum minoriti

Komitmen BN kepada kaum minoriti akan dizahirkan menerusi janjinya untuk menyediakan peruntukan tahunan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina dan sekolah-sekolah menengah persendirian. Kepentingan kaum minoriti yang termaktub dalam perlembagaan akan diperkasa dari semasa ke semasa.

Kekuatan yang ada pada Kelantan hari ini lahir dari kepelbagaian kaum dan agama yang hidup bersatu-padu di negeri ini. Permuafakatan ini adalah identiti kita rakyat Kelantan. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mewariskan permuafakatan yang terbina ini kepada anak cucu kita di masa hadapan.

Sekilas pandang ini hanya sempat memuatkan sebahagian daripada kandungan manifesto BN Kelantan. Bagaimanapun ia sudah cukup untuk dinilai betapa terperinci dan cermatnya pimpinan BN melakar setiap janji.

Justeru, tinggal beberapa hari yang berbaki, kita seharusnya bijak menilai yang mana permata dan yang mana kaca, kerana sejarah tidak pernah berbohong dan masa tidak pernah berhenti, menghambat waktu mendepani zaman.

Maka kita (rakyat) perlu bangkit, bukan terus leka demi Kelantan kita.