Empat Tawaran BN Kepada Warga Kota Bharu

Barisan Nasional (BN) Kota Bharu menjanjikan empat tawaran kepada masyarakat parlimen itu jika menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi BN Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, empat tawaran itu ialah tajaan kenduri kahwin bagi pasangan yang baru berkahwin; tusyen percuma untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan; skim bantuan bersalin dan meneruskan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Ia bertujuan untuk memenuhi keperluan penduduk bandar yang berdepan kos sara hidup lebih tinggi berbanding tempat lain,” katanya ketika melancarkan Manifesto BN Kota Bharu hari ini.

Mohamad Fatmi berkata, tajaan kenduri kahwin adalah khusus untuk pasangan pengantin yang berkahwin kali pertama.

“Tajaan ini melibatkan semua kaum tidak kira Melayu, Cina, India atau lain-lain. Ia akan dibuat secara berkelompok sebanyak dua kali setahun.

“Kita rancang untuk mengadakan majlis pertama pada 17 Ogos depan,” katanya.

Bagi tawaran kedua katanya, khusus untuk pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh parlimen berkenaan yang bakal menduduki peperiksaan dengan memfokuskan subjek penting.

“Tawaran skim bantuan bersalin ini berbentuk one-off sebanyak RM100 secara tunai kepada setiap kelahiran anak pasangan warga Kota Bharu.

“Tawaran keempat pula merupakan kesinambungan projek PPR di Wakaf Mek Zainab yang melibatkan 1,000 unit kediaman. Kita mahu bina lebih banyak PPR sehingga mencapai sasaran 5,000 unit kediaman,” katanya.

Tambahnya, projek perumahan tersebut terbuka kepada semua kaum. – 21 April 2018.