Bekas Pegawai Operasi PMBK Sertai PAN, Tanding DUN Bunut Payong?

Bekas Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Sanusi Othman hari ini menyertai PAN setelah meletakkan jawatan dalam masa 24 jam.

Perkara itu diumumkan oleh Penasihat PAN Kelantan Husam Musa dalam satu sidang akhabar di Kota Bharu hari ini.

“Pada hari ini beliau meletak jawatan secara rasmi daripada PMBK, dan telah diterima dengan senang hati,” kata Husam.

Sanusi pernah berkhidmat sebagai pegawai Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) tetapi “disingkirkan” dipercayai ada kaitan dengan pendedahan pernah dibuat mengenai syarikat berkenaan.

Husam berkata, Sanusi melihat kerajaan Kelantan di bawah PAS tidak lagi relevan untuk terus mentadbir negeri itu dengan cekap, telus, bersih serta berkesan.

“Kerana itu beliau mengambil keputusan untuk meletak jawatan dalam tempoh 24 jam demi melakukan perubahan bersama rakyat Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, dengan perkembangan itu, PAN Kelantan bercadang memilih Sanusi sebagai calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

“Kita akan bincang untuk mempertimbangkan beliau sebagai salah seorang calon HARAPAN (PAN) di DUN yang akan kita umumkan kemudian, ” katanya.

Sokmo.Net difahamkan Sanusi akan bertanding di DUN Bunut Payong. – 22 April 2018.