BN Kelantan Menyeru Pengundi Luar Pulang Mengundi 9 Mei Ini

Barisan Nasional (BN) Kelantan menyeru pengundi luar supaya pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Pengerusi Biro Pengundi Luar Umno negeri, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, pengundi luar yang berdaftar adalah seramai 150,000 orang dan ia merupakan suatu bilangan yang besar.

“Mereka adalah penentu selain mampu melakukan perubahan untuk melonjak gelombang perubahan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan pada PRU14 ini.

“Jadi, saya menyeru semua perantau pulang untuk mengundi pada 9 Mei ini. Beri sokongan undi kepada calon-calon yang bertanding di Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan telah mengumumkan cuti bagi penjawat awam dan syarikat swasta juga sedia memberi pelepasan cuti kepada pekerjanya untuk pulang mengundi.

Kata Ikmal, pihaknya akan berbincang kaedah bagi membantu memudahkan pengundi luar pulang pada hari penting itu memandangkan BN negeri tidak menyediakan pengangkutan untuk tujuan tersebut.

“Dari segi penyediaan pengangkutan seperti bas, BN negeri tidak menyediakan kemudahan itu, tetapi ia terpulang kepada bahagian masing-masing,” katanya. – 22 April 2018.

%d bloggers like this: