Husam Kata Kenyataan Zahari Bercanggah, Mengelirukan

Bekas exco kerajaan PAS Kelantan Husam Musa menyangkal kenyataan Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan Datuk Zahari Ibrahim berhubung kelulusan projek pembalakan di Kelantan.

Beliau berkata, kenyataan tersebut bercanggah dengan jawapan bertulis semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan baru-baru ini.

“Ia berbeza dengan jawapan DUN pada 26 dan 27 Mac lalu yang menyatakan 12 lesen pembalakan dan perladangan di Hutan Simpan Gunung Basor telah diluluskan sejak 2014.

“Kedua tentang status perlesenan Hutan Simpan Berangkat antara 2015 hingga 2018 melibatkan kelulusan kepada 14 syarikat melalui projek perladangan dan pembalakan dengan keluasan 1,533 hektar,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu hari ini.

Dalam kenyataan 16 April lalu Zahari memberitahu kerajaan PAS Kelantan mengekalkan rekod tidak memberi kelulusan baharu kawasan pembalakan, terutama penubuhan ladang hutan dalam hutan simpan kekal, sejak 2013.

Sebelum itu Husam menghantar surat bantahan kepada Menteri Besar Sementara Datuk Ahmad Yakob bagi mendesak pembekuan sebarang kelulusan projek balak, selepas difahamkan ada kertas cadangan agar satu permohonan diluluskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perhutanan (JKKP).

Zahari kemudian menafikan dakwaan tersebut dan berkata, mesyuarat hanya membincangkan “perkara biasa” seperti menimbang permohonan industri pemprosesan kayu dan soal pemeliharaan hutan.

Sementara itu, Husam turut mendakwa jawapan sidang DUN lalu turut memaklumkan Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat negeri itu meluluskan lesen cari gali berkeluasan 200 hektar di Ulu Nenggiri di Gua Musang, bagi tempoh setahun bermula 1 November 2017.

“Menurut pemahaman saya, apabila perlombongan dimulakan kayu balak akan ditebang. Kelulusan perlu mendapatkan pandangan dan persetujuan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan,” katanya.

Tegasnya, berdasarkan jawapan sidang DUN itu, Zahari membuat kenyataan salah, mengelirukan dan tidak berdasarkan fakta sebenar.

Ekoran itu, Husam menuntut Zahari memohon maaf secara terbuka kepada nya dan rakyat Kelantan. – 22 April 2018.