BN Kelantan UMUM Calon PRU14

Barisan Nasional (BN) Kelantan hari ini mengumumkan senarai calon mereka yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Pengumuman itu disempurnakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed di Pejabat Perhubungan UMNO Kelantan tengahari tadi.

Semasa ditemui Mustapa berkata, pilihan raya umum kali ini, BN Kelantan menampilkan 62 peratus calon Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terdiri daripada muka baharu dan 21 peratus (Parlimen).

Katanya, proses mengenalpasti dan saringan terhadap 14 calon Parlimen dan 45 calon DUN telah bermula sejak setahun lalu.

“Senarai calon ini adalah hasil input daripada pelbagai pihak termasuklah Ketua-ketua UMNO Bahagian, Ketua-ketua parti komponen, pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Dan keputusan akhir telah dibuat oleh Pengerusi Barisan Nasional Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Mustapa berkata, gandingan muka baharu dan lama akan memberi satu nafas baharu bagi memastikan BN Kelantan kekal relevan di negeri itu.

“Semoga senarai calon yang ditampilkan kali ini berjaya meyakinkan orang ramai untuk memberi peluang kepada BN Kelantan,” katanya. – 23 April 2018.