Nozula Akur Tak Dicalon

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah yang tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

“Saya akur dan terima keputusan pimpinan BN (Barisan Nasional) sama ada di peringkat negeri dan pusat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed merakamkan penghargaan kepada beliau yang telah berkhdmat sebagai wakil rakyat Paloh selama 28 tahun.

“Segala jasa dan pengorbanan beliau akan dikenang dan kita berharap beliau akan terus membantu jentera Barisan Nasional untuk mencipta sejarah di Kelantan kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap agar semua jentera dan penyokong parti dapat menerima baik senarai calon yang telah diputuskan kali ini.

Katanya, jentera dan penyokong juga perlu mengekalkan disiplin dan komitmen tinggi terhadap parti.

“Hanya dengan kesepakatan dan perpaduan dalam kalangan BN Kelantan sahajalah kita akan dapat mengambil alih semula pentadbiran negeri ini selepas 28 tahun,” katanya. – 23 April 2018.