Polis Kelantan Terima 18 Laporan Khianat Cabut Bendera

Polis Kelantan menerima 18 laporan perbuatan khianat cabut bendera parti sejak 12 April lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kawasan terlibat adalah Kota Bharu, Machang, Kuala Krai, Pasir Mas dan Bachok.

“Susulan laporan itu, pihak polis telah berjaya menahan empat lelaki berusia antara 28 hingga 38 tahun bagi membantu siasatan.

“Empat kertas siasatan dibuka, manakala selebihnya laporan biasa,” katanya di Kota Bharu hari ini.

Hasanudin mengingatkan aktivis parti atau jentera terbabit agar mengelak daripada memacak bendera parti masing-masing di tempat yang tidak sepatutnya.

“Suka kami nasihatkan pihak yang memacak bendera parti supaya tidak menghalang lalu lintas atau premis perniagaan.

“Orang ramai atau masyarakat setempat juga dinasihatkan tidak bertindak mencabut bendera parti politik yang dipacak di kawasan masing-masing bagi mengelak provokasi,” katanya. – 23 April 2018.

%d bloggers like this: