Nozula Janji Bantu Kemenangan BN Di Paloh

Datuk Nozula Mat Diah berjanji akan turun padang bagi membantu kemenangan BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh walaupun beliau tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Nozula berkata, walaupun tidak dicalonkan, namun beliau tetap setia dengan parti (UMNO) dan turut berjanji tidak akan bertindak keluar parti berikutan keputusan itu (tidak dicalonkan).

“Saya berjanji tidak akan melompat parti dan akan setia dengan UMNO serta BN. Saya akur dengan keputusan pemimpin BN Kelantan.

“Selepas ini, saya bersama 12 jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) berjanji akan turun padang untuk membantu kempen bagi memastikan kemenangan BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh,” katanya.

Semasa pengumuman calon 23 April lalu, BN mengumumkan calon baharu, Amran Arifin untuk mempertahankan DUN tersebut sekali gus menyaksikan nama Nozula digugurkan.

Perkembangan itu  membuatkan penyokongnya tidak berpuas hati lalu membantah keputusan tersebut dengan menutup bilik gerakan selain menurunkan bendera BN di Gua Musang.

Malah, mereka turut mengecam Ketua Bahagiannya, Tengku Razaleigh Hamzah yang didakwa memainkan peranan dalam percaturan ini (gugurkan Nozula).

Nozula menjadi wakil rakyat Paloh selama 28.

Nozula menasihatkan, pengundi DUN Paloh supaya memberi sokongan penuh kepada calon BN pada PRU14 ini.

“Saya percaya Amran mampu meneruskan perjuangan yang dibawa saya sebelum ini termasuklah membina perumahan untuk generasi kedua Felda dan Kesedar,” katanya.

Paloh merupakan satu daripada tiga DUN yang terletak di bawah Parlimen Gua Musang.

Tengku Razaleigh kekal sebagai calon Parlimen, manakala penyandang bagi kerusi DUN Galas  Ab. Aziz Yusof beralih ke Nenggiri bagi memberi laluan kepada calon muda (muka baharu) mempertahankan Galas iaitu Mohd. Syahbuddin Hashim. – 25 April 2018.