Abdul Hadi Kata Macam ‘Filem Tamil’

“Macam filem Tamil”

Demikian sindir Abdul Hadi Awang sambil mempersoalkan kesahihan tragedi 1998 berhubung insiden Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipukul sehingga matanya lebam.

Sindiran itu merujuk kepada simbol mata merah dan biru yang digunakan oleh gabungan Pakatan Harapan  dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Presiden PAS itu berkata, insiden tersebut berlaku di bawah pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan plot ceritanya seperti luar batasan akal.

“Ia seperti plot cerita Tamil yang tidak masuk akal,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PAS Kelantan di Kota Bharu, Kelantan malam tadi.

Beliau mempersoalkan sama ada insiden tersebut pura-pura atau sebaliknya dengan berkata, “sekarang guna simbol mata, mata lebam biru, lebam merah, (seperti) kena ‘gocoh’, bekas kena tumbuk.

“Tiba-tiba yang kena tumbuk dan yang tukang tumbuk bersatu,  kena tumbuk sungguh atau pura-pura sahaja?

“Macam filem Tamil, kena sekali tumbukan, jatuh berguling-guling, yang tengok menangis sedih, padahal tidak ada apa-apa, satu lakonan sahaja,” katanya. – 26 April 2018.