Adam Rosly Dikenakan Hukuman Penjara Enam Bulan, Denda RM300,000

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman enam bulan penjara terhadap Ketua Pemuda PKR Ampang, Adam Rosly selepas didapati bersalah memberi kenyataan dan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung harta yang dimiliki.

Hakim, Allaudeen Ismail turut memerintahkan Adam membayar denda RM30,000 atau setahun penjara sekiranya gagal membayar denda.

Terdahulu, peguam Datuk Sulaiman Ismail yang mewakili Adam memohon agar dikenakan hukuman ringan memandangkan anak guamnya telah insaf dan mempunyai masalah kewangan akibat disita SPRM.

“Dia tidak berniat melakukan perbuatan itu namun tertekan ketika mahu menyedia dan menyerahkan dokumen kepada SPRM,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan.

“Sebagai ahli politik, tertuduh sepatutnya menjadi contoh kepada anak muda lain untuk menjadi orang yang bertanggungjawab sebaliknya dia memberi dokumen palsu kepada SPRM bagi melepaskan diri,” katanya.

Allaudeen membenarkan Adam memfailkan rayuan selain diikat jamin sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin.

Adam, 31, didakwa atas enam pertuduhan.

Pertuduhan pertama dan kedua, beliau didakwa memberi pernyataan palsu kepada pegawai penyiasat SPRM ketika percakapannya dirakam.

Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam beliau dituduh menggunakan dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujuan pinjaman wang daripada dua individu dan dua baucer tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari Holding Sdn. Bhd. dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM.

Dakwaan kekayaan Adam pertama kali dibongkar oleh Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos, berhubung rumah banglo dua setengah tingkat yang separa siap di Kampung Melayu Ampang. – 26 April 2018.

%d bloggers like this: