Calon UMNO Boleh Bertanding

Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tiada masalah, mereka boleh menghantar borang pencalonan masing-masing Sabtu ini walaupun status UMNO kini sedang dicabar di mahkamah.

Penasihat undang-undang UMNO Datuk Mohd. Hafarizam Harun berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menandatangani watikah calon atas kapasiti sebagai Pengerusi BN, bukannya Presiden UMNO.

“Calon yang bertanding pada PRU14 pada 9 Mei ini mewakili BN selaku gabungan 13 parti, bukannya mewakili parti sendiri.

“Maka, tanggapan pihak tertentu termasuk pembangkang bahawa BN tidak boleh bertanding pada PRU14 ini tidak betul,” katanya ditemui pemberita di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Mahkamah hari ini mendengar penghujahan peguam yang mewakili 16 anggota UMNO yang ‘dipecat’ dan juga ROS.

Kumpulan itu memfailkan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang membenarkan UMNO menangguhkan pemilihan parti sehingga April tahun depan.

Mereka juga menuntut pembubaran UMNO kerana gagal melakukan pemilihan parti selama kira-kira lima tahun, melebihi tempoh yang ditetapkan iaitu tiga tahun. – 26 April 2018.