Elak Politik Maki Hamun

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr. Asyraf  Wajdi Dusuki menyeru ahli politik agar berpolitik secara berhemah terutama semasa berkempen.

Katanya, ia bagi memastikan perpaduan rakyat terus kekal harmoni di dalam negara ini dan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berlangsung dalam suasana yang penuh hikmah.

“Kita berpolitiklah secara hikmah, berakhlak dan beradab mengikut acuan Islam. Kita perlu mengelakkan diri dari mengaibkan, menuduh, memfitnah dan maki hamun,” katanya.

Beliau berkata, akhlak Islam tidak sekali-kali  membenarkan seseorang menuduh  dan menghukum orang lain justeru, dalam berkempen harus ada sempadan serta batasan.

Katanya, kemusnahan umat Islam di beberapa buah negara antara lain berpunca daripada persengketaan akibat sangkaan buruk sesama sendiri.

Kerusi Parlimen Pasir Puteh bakal menyaksikan persaingan tiga penjuru di antara BN, Datuk Dr. Nik Zawawi Salleh (PAS) dan Datuk Kamaruddin Md. Nor (Pakatan Harapan). – 26 April 2018.