Cikgu Rahim Tak Tanding, Tumpu Proses Kempen

Pengerusi PAN Kelantan, Wan Abd. Rahim Wan Abdullah memilih untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketika mengesahkan perkara itu, Naib Presiden PAN Husam Musa berkata, Wan Abd. Rahim ingin menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kempen parti itu di seluruh Kelantan.

“Wan Abd. Rahim ditawarkan untuk bertanding di tiga tempat sebagai pilihan pertama tetapi atas dasar ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada perjalanan kempen di seluruh negeri, beliau menolak tawaran itu.

“Beliau mempunyai keutamaan untuk membantu jentera bagi memastikan kita berjaya,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pengisytiharan calon Pakatan Harapan Kelantan PRU14 di Kota Bharu, malam tadi.

Difahamkan, sebelum ini Wan Abd. Rahim ditawarkan untuk bertanding di tiga kerusi strategik iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas, Bunut Payong dan Parlimen Rantau Panjang.

Beliau pernah dipilih sebagai wakil rakyat bagi Parlimen Kota Bharu pada 2008. – 27 April 2018.