Merdeka Centre Ramal BN Menang Di Kelantan

Badan tinjauan bebas Merdeka Centre meramalkan Barisan Nasional (BN) berjaya menawan kembali Kelantan daripada pemerintahan PAS sejak 28 tahun lalu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Pengarah Eksekutifnya Ibrahim Sufian berkata, tinjauan mutakhir mununjukkan 55 peratus pengundi Kelantan menyokong BN berbanding PAS (35 peratus) dan Pakatan Harapan (10 peratus).

Dari sudut sokongan Melayu terhadap BN pula katanya, menunjukkan peningkatan 10 peratus daripada 54 peratus sejak 2013.

“Kemungkinan besar PAS akan kalah di Kelantan. Walaupun mereka tidak akan kalah di semua 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kami menganggarkan mereka akan mampu mengekalkan 10 hinga 20 kerusi, tetapi masalah yang dihadapi mereka adalah banyaknya kerusi marjinal.

“Situasi mereka (PAS) di Kelantan akan terjejas dengan ketiadaan kepimpinan berkarisma (seperti Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik mat) yang sebelum ini berjaya…membawa pengundi luar untuk pulang mengundi dan menutup kekurangan perkhidmatan dengan kuasa personaliti.

“Parti itu sendiri berpecah kepada AMANAH (PAN), sejumlah pengundi akan memilih (parti itu),” katanya dalam forum ‘Malaysia GE14 Outlook: Perspectives and Outcomes’di Universiti of Nottingham Kuala Lumpur semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PAN belum cukup kukuh untuk mencetuskan peralihan undi konservatif secara signifikan.

“AMANAH parti baharu dan kami tidak rasa ia cukup mampu untuk mencetuskan tsunami,” katanya. – 27 April 2018.