Pentadbiran Najib Lebih Terbuka – Abdul Hadi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui terdapat perbezaan antara zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib jauh lebih terbuka berbanding Dr. Mahathir.

“Ini termasuk memberikan laluan untuk PAS membentangkan usul persendirian Rang Undang-undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Akta 355) di Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program ceramah perdana Kompleks Latihan Islam Negeri Sembilan malam tadi.

Abdul Hadi berkata, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu paling kuat menentang pelaksanaan perundangan Islam di Kelantan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan Enakmen Undang Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan.

Katanya, Dr. Mahathir pernah menghantar surat kepada Menteri Besar Kelantan ketika itu Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta tidak meneruskan hasrat untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

“Ini yang berlaku sebenarnya, Dr. Mahathir bersama timbalannya (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menghalang pelaksanaan perundangan Islam di negeri Kelantan setelah 2/3 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Kelantan meluluskan pelaksanaan enakmen tersebut,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Abdul Hadi berkata, semasa pemerintahan Dr. Mahathir juga, kerajaan PAS Kelantan berhadapan dengan pelbagai bentuk tekanan termasuklah melewatkan agihan geran kepada kerajaan negeri.

“Sengaja melengah-lengahkan pembayaran peruntukan kepada kerajaan negeri Kelantan yang sepatutnya dibayar pada Februari atau April dan Jun atau Ogos setiap tahun, sehingga menjejaskan pembayaran gaji kepada kakitangan kerajaan negeri,” katanya. – 27 April 2018.