Ahmad Jazlan Berdepan Sazmi, Zulkifli Di Machang

Proses penamaan calon Parlimen Machang dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya hari ini berjalan lancar.

Parlimen Machang bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Datuk Sazmi Miah (Pakatan Harapan) dan Zulkifli Mamat (PAS) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Ahmad Jazlan yang juga penyandang kerusi Parlimen tersebut tiba di Pusat Penamaan Calon P029 Parlimen Machang pada pukul 8.40 pagi.

Zulkifli tiba pada pukul 8.57 pagi diikuti Sazmi tiga minit kemudian (9 pagi).

Kesemua calon Parlimen dan DUN tiba di pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Machang dengan diiringi pencadang dan penyokong masing-masing.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya P029 Parlimen Machang Rolan Abdul Rahman mengendalikan proses penamaan calon yang dibuka mulai pukul 9 pagi hingga 10 pagi di bilik gerakan bangunan pejabat tersebut.

Pada PRU13, Ahmad Jazlan yang juga ketua UMNO Bahagian Machang, menewaskan calon PKR dengan majoriti 805 undi. – 28 April 2018.