PAS Pecat Keahlian Nik Omar Serta Merta

Nik Omar Nik Abdul Aziz dipecat keahlian PAS berkuatkuasa serta merta selepas disahkan menjadi calon Pakatan Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan ketika mengesahkan pekara itu bekata, keputusan itu diambil selepas mengadakan perbincangan dengan pimpinan tertinggi PAS.

“Kita mengambil keputusan memecat Nik Omar sebaik sahaja dia bertanding dengan parti lain.

“Tindakan menyertai pakatan pembangkang diketuai DAP itu tidak boleh diterima selain dianggap memalukan keluarganya sendiri,” katanya ketika bercakap kepada media di Kota Bharu, hari ini.

Tambahnya, tindakan Nik Omar bertanding atas tiket Pakatan Harapan adalah bertentangan dengan perlembagaan parti.

Selain itu tambah Takiyuddin lagi, tindakan Nik Omar itu “menghina” pegangan politik keluarganya.

“Nik Omar membuat tindakan yang menghina pegangan politik ahli keluarganya sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan anak kedua bekas menteri besar Kelantan itu tidak menjejaskan kedudukan PAS menjelang PRU14 ini.

Teka-teki Nik Omar akan menjadi calon Pakatan Harapan sebelum ini terjawab apabila beliau muncul ke pusat penamaan calon bagi parlimen Pengkalan Chepa hari ini.

Nik Omar menyerahkan borang pencalonan mewakili Pakatan Harapan untuk bertanding di DUN Cempaka iaitu kerusi tradisi ayahandanya Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. – 28 April 2018.