Hospital Jeli Perlu Doktor Pakar Kekal

Hospital Jeli di Kelantan memerlukan sekurang-kurangnya dua doktor pakar yang ditempatkan secara kekal bagi memastikan mutu perkhidmatan kepada rakyat di jajahan itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia kerana hospital tersebut belum mempunyai doktor pakar sendiri.

“Operasi Hospital Jeli sekarang ini dibantu doktor pakar dari Hospital Tanah Merah. Mereka ditugaskan berkhidmat di sini (Jeli) dua kali seminggu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan ambulan jenis pacuan empat roda dan menziarahi pesakit di Hospital Jeli, hari ini.

Mustapa memberitahu, beliau sudah menghantar surat kepada Kementerian Kesihatan memohon kerajaan mempertimbangkan penempatan doktor pakar secara kekal di Hospital Jeli.

Katanya, ketiadaan doktor pakar secara kekal menyebabkan perkhidmatan ditawarkan sedikit terencat.

“Kalau ada doktor pakar kekal, maka pesakit tidak perlu ke Hospital Tanah Merah atau Kota Bharu yang jauh jaraknya,” katanya. – 29 April 2018.