Janji Yang Diulang

Malam tadi, Pakatan Harapan (PH) Kelantan membentangkan 11 tawaran utama sekiranya mereka diberi mandat memerintah negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Antara tawaran yang terkandung di bawah 11 teras utama itu ialah menubuhkan Universiti Al-Quran, membina stadium bola sepak baharu dan menyediakan peluang pekerjaan.

Tawaran yang dikemukakan itu secara tidak langsung seolah-olah tidak ubah satu ‘penciplakan’ daripada manifesto Barisan Nasional (BN) Kelantan yang telah dilancarkan baru-baru ini.

Mana tidaknya, ketiga-tiga tawaran itu sebenarnya sudah disenaraikan di dalam 60 tawaran yang terkandung di bawah tujuh jaminan utama manifesto BN Kelantan.

Cuma yang terdapat sedikit perbezaan adalah dari segi angka peluang pekerjaan. Di dalam manifestonya, BN berjanji akan menyediakan 50,000 peluang pekerjaan kepada rakyat, tetapi PH hanya 20,000 sahaja.

Perbezaan angka itu mungkin hanya untuk mengelak daripada sebarang telahan bahawa ia terang-terangan ‘menciplak’ manifesto BN. Atau barangkali PH memang sebenarnya tidak mampu menyediakan peluang itu yang lebih banyak kepada rakyat.

Dalam bab stadium baharu pula, ia sebenarnya bukan perkara baharu bagi rakyat Kelantan. Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Husam Musa, semasa menjadi Exco kerajaan PAS Kelantan telah berjanji untuk membina stadium tersebut di Bukit Merbau, Pasir Puteh.

Majlis pecah tanah projek stadium baharu itu telah disempurnakan  bekas Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Mei 2012. Namun sehingga sekarang bayang pembinaannya tidak kelihatan.

Dan tawaran paling melucukan ialah, untuk menyiapkan Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai dalam masa 18 bulan dan seterusnya merangka sambungan Lebuh Raya sampai ke Gua Musang.

Umum sedia maklum, lebuh raya rakyat merupakan drama komedi Husam juga semasa menjadi Exco Kerajaan PAS Kelantan dahulu.

Projek ini merupakan antara janji terbesar PAS pada PRU13 dengan majlis pecah tanahnya telah dirasmikan Allahyarham Nik Abdul Aziz pada 28 Mei 2012.

Namun demikian jugalah perkembangan projeknya, sehingga ke hari ini janji itu langsung tidak berkesan sedangkan pungutan derma jutaan ringgit telah dikutip dari rakyat (untuk meralisasikan projek mega itu).

Dari celah kekalutan lebuh raya itu, rakyat mula muak malah, keyakinan mereka terhadap kerajaan negeri yang terlalu dramatik mula berkurangan. Akhirnya kerajaan PAS Kelantan pimpinan Datuk Ahmad Yakob mengaku tidak mampu mengimplimentasikan projek tersebut.

Ringkaskan cerita, susulan itu kerajaan BN (Pusat) sedia memikul tanggungjawab bagi membantu kerajaan PAS Kelantan menyiapkan sebahagian pembinaan projek berkenaan sejauh 30 kilometer dan kerajaan negeri hanya akan menyiapkan pembinaan sejauh 10 kilometer sahaja.

Husam seolah-olah ketandusan idea, terpaksa menggali semula khazanah silam yang tidak mampu dipersembahkan kepada rakyat untuk dibukukan kembali ke dalam buku janjinya bagi meraih undi menjelang PRU 14. – 29 April 2018.