UMNO Pun Ambo Hormat – Nik Omar

Selepas spekulasi mengenainya terjawab, calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Cempaka Nik Omar Nik Abdul Aziz menyatakan bahawa beliau menghormati semua parti termasuk UMNO, namun pilihannya adalah PH.

“Ambo (saya) hormat semua, hatta UMNO pun ambo hormat. Jadi mana-mana pengundi nak undi lagi UMNO terserahlah. Dah dia rasa itu terbaik.

“Jadi pada ambo secara peribadi dalam suasana sekarang ini ada tiga pilihan dan Pakatan Harapan yang terbaik,” katanya selepas menghadiri majlis pembentangan tawaran HARAPAN (PH) Kelantan bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Kota Bharu, Kelantan malam tadi.

Semalam, anak kedua bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu menjadi perhatian ramai apabila hadir di pusat penamaan calon dan menyerahkan borang pencacolanan bagi mewakili calon PH di DUN Cempaka.

Tindakan beliau itu sekali gus dianggap telah mengubah tradisi keluarganya dalam dunia politik PAS tanah air.

Dalam perkembangan berkaitan, Nik Omar menyifatkan Pengerusi PH negeri, Husam Musa sebagai anak emas arwah bapanya berasaskan pendekatan yang dilakukan calon DUN Salor dan Parlimen Kota Bharu itu menyamai Nik Abdul Aziz.

“Asasnya kalau kita ikut perkembangan, Tok Guru pernah sebut secara terbuka bahawa Husam dicipta Allah bukan hanya untuk negeri Kelantan, tetapi juga untuk Malaysia. Itu satu bukti.

“Dan betapa kehadiran Husam ini banyak memberi kebaikan dari sudut kewangan, ekonomi dan ambo memang tak terlibat dengan politik tetapi mengikuti perkembangan.

“Jadi ambo perhati pendekatan yang dibawa Husam memang sama, anak butir (anak emas) kita panggil dengan apa yang dibawa oleh Tok Guru,” katanya. – 29 April 2018.