Dengar Cerita Hadi Mimpi Sejak Kecil – Miqdab

Ketua PAN Marang, Miqdad Zakaria mendedahkan beliau mendengar cerita tentang mimpi bapa saudaranya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak kecil lagi.

Menurutnya, sejak dari kecil pelbagai cerita tentang mimpi Presiden PAS itu didengarinya sehingga menimbulkan rasa ragu.

“Sehari dua ini dia (Abdul Hadi) duk jual cerita tentang mimpi. Ambo (saya) minta maaf terpaksa sebut, kerana kuat sangat pasal cerita mimpi.

“Cerita mimpi ini daripada ambo kecil dulu macam-macam mimpi diceritakan, sampai satu tahap ambo kata, betul ke orang ini?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mulong dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor di Kota Bharu, Kelantan malam tadi.

Abdul Hadi dilaporkan bermimpi bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berjalan dalam keadaan kaki sebelah.

Mimpi itu kononnya dikaitkan dengan penyertaan anak kedua bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar ke PAN seterusnya mewakili calon Pakatan Harapan di DUN Cempaka.

Susulan itu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, pula memberitahu Abdul Hadi beberapa kali pernah bermimpi bertemu Rasulullah.

Katanya, beliau pernah berbual mengenai pengalaman bermimpi bertemu Rasulullah itu dalam pertemuan empat mata bersama Abdul Hadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Miqdad bagaimanapun tidak menafikan kesahihan umat Islam boleh bermimpi bertemu dengan nabi.

“Orang yang soleh memang boleh didatangi mimpi yang tertentu kerana Allah mahu menyampaikan sesuatu benda baik.

“Tapi hadir (mimpi itu) dengan syarat-syarat dan adab, antaranya tidak boleh cerita kepada orang ramai, tapi ini mimpi duk cerita habis kat orang. Itu salah dah.

“Yang kedua mimpi ini kena cerita kepada orang yang betul-betul amanah. Yang memang takkan sebar, takut orang silap faham,” jelasnya.

Sementara itu, Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, dalam catatan Facebooknya semalam menulis, mimpi tidak boleh dijadikan hujah. – 1 Mei 2018.