Husam Bidas Hadi Jangan Salah Guna Fatwa Politik

Serangan PAS terhadap calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Cempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz menggambarkan seolah-olah hanya parti itu sahaja ‘Islam’.

Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa menyifatkan serangan itu amat keterlaluan apabila menyamakan Nik Omar seperti anak nabi Nuh yang berpaling tadah daripada ayahnya.

“Ini adalah pilihan raya umum, jadi apa kaitan akidah anak Nabi Nuh yang turun dari kapal kerana tidak mengaku kewujudan Allah dengan Nik Omar?

“Jangan politik sehingga tahap itu, menyalahgunakan fatwa politik. Adakah keluar daripada PAS akan rosak akidah,” soalnya semasa menyampaikan ceramah di Mulong malam tadi.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam dilaporkan seolah-olah menyamakan anak-anak pemimpin PAS yang meninggalkan perjuangan ayahnya seperti anak nabi Nuh yang memperlekehkan bahtera ayahnya sendiri.

“Al-Quran mengisahkan anak nabi Nuh yang memperlekehkan bahtera ayahnya dan lebih yakin kepada bukit yang dapat dilihat gagah boleh menyelamatkannya daripada taufan terbesar, maka bahtera ayahnya ditinggalkan,” kata Abdul Hadi.

Nik Omar mencetuskan kontroversi apabila menyerahkan borang pencalonan mewakili Pakatan Harapan untuk bertanding bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cempaka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Tindakan itu sekali gus menyaksikan perbezaan beliau dengan wadah perjuangan dibawa ayahnya yang juga bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selama ini.

Susulan itu, Nik Omar dipecat keahliannya berkuat kuasa serta merta.

Di Cempaka, Nik Omar akan berdepan dengan pertandingan tiga penjuru menentang penyandangnya Ahmad Fathan Mahmod (PAS) dan Mohamad Fareez Noor Amran (BN).

Kerusi DUN Chempaka merupakan kubu kuat PAS disandang Nik Abdul Aziz sejak 1995. – 1 Mei 2018.