Kompleks Sukan Komuniti Setiap Daerah

Kerajaan Barisan Nasional (BN) Kelantan bercadang untuk membina kompleks sukan di setiap daerah dalam usaha melonjakkan pembangunan sukan di negeri itu.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perancangan itu sukar untuk dilaksanakan berikutan masalah mendapatkan tanah.

“Perancangan ini nescaya dapat direalisasikan dengan sebaiknya jika BN diberi mandat memerintah negeri ini,” katanya selepas Majlis Pecah Tanah Kompleks Sukan Komuniti Lawang, Jeli di Kelantan.

Mustapa yang juga calon Parlimen Jeli berkata, sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk membina kompleks sukan tersebut.

Katanya, RM200,000 diperuntukkan untuk mendapatkan tanah di kawasan berkenaan dan selebihnya bagi kerja-kerja pembinaan.

“Desakan membina satu kawasan khas telah dibuat penduduk kampung ini, namun masalah untuk dapatkan tanah menyebabkan ia tertangguh begitu lama, baru sekarang ia boleh dilaksanakan.

“Dulu penduduk disini hanya menggunakan kawasan bendang untuk aktiviti riadah atau bersukan. Sekarang dengan adanya kawasan ini kita akan bina padang bola dan dewan terbuka untuk manfaat mereka,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti sukan di Kelantan boleh diaktifkan dengan lebih efisyen sekiranya kemudahan prasarana mencukupi. – 1 Mei 2018.