Momentum Sokongan BN Dijangka Meningkat

Momentum sokongan rakyat Kelantan terhadap Barisan Nasional (BN) yang dibentuk sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) dijangka meningkat pada PRU14 ini.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia terbukti pada PRU-13, BN berjaya memenangi lima kerusi Parlimen berbanding hanya dua kerusi dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding enam kerusi pada PRU12.

“Momentum pada 2013 ini kita teruskan, bermakna hari ini situasi bertambah baik.

“Antara kekuatan BN ialah melaksanakan dasar berorientasikan perkhidmatan, kita berbakti kepada rakyat secara konsisten sejak enam pilihan raya,” katanya dalam sidang akhbar harian PRU14 BN Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Mustapa berkata, momentum sokongan rakyat yang dilihat semakin meningkat sejak hari penamaan calon meletakkan BN berada pada landasan terbaik untuk merebut sekurang-kurangnya lapan kerusi Parlimen di Kelantan pada PRU14 ini.

Sementara itu, beliau menyifatkan nasihat Pakatan Harapan terhadap penyokongnya supaya merosakkan kertas undi bagi memprotes pencalonan wakil parti itu yang ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai tidak berpendirian.

Katanya, merosakkan kertas undi bukan pilihan terbaik jika rakyat mahukan amalan demokrasi dan kebebasan bersuara terus subur di negara ini.

“Pendekatan tersebut hanya mencerminkan pelakunya tidak berpendirian atau mungkin memiliki agenda tertentu yang tidak memberi sebarang kebaikan kepada masa depan negara,” katanya.

Dalam sidang akhbar PKR Kelantan hari ini mengarahkan semua penyokongnya yang mengundi di DUN Kuala Balah dan Tawang supaya mengambil pendirian berkecuali ataupun merosakkan kertas undi semasa hari pengundian.

Ia sebagai tanda protes berikutan pencalonan wakil PH ditolak oleh SPR pada sesi penamaan calon, Sabtu lalu.

SPR menolak pencalonan wakil PH di DUN Kuala Balah, Mohd. Hafidz Rizal Amran atas alasan muflis, manakala calon PH di DUN Tawang, Mohd. Azihan Che Seman hilang kelayakan kerana alamat dalam kad pengenalannya bukan dalam kawasan DUN Kelantan itu. – 1 Mei 2018.