Selesai Isu Tanah Adat Orang Asli Bukan Janji Kosong

Kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu menyelesaikan masalah tanah adat yang menjadi isu bagi penduduk Orang Asli di Gua Musang selama ini jika diberi mandat memerintah Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Ab. Aziz Yusof berkata, akujanji BN Kelantan mengenai perkara itu bukan retorik semata-mata untuk meraih undi rakyat menjelang pilihan raya.

“Sekiranya diberi mandat, masalah itu boleh diselesaikan kerana masalah tanah ini tertakluk di bawah kerajaan negeri sepenuhnya,” katanya.

Semasa melancarkan manifesto PRU14 BN Kelantan 19 April lepas, Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed memberitahu, kerajaan BN memberi keutamaan kepada kebajikan Orang Asli.

Antara keutamaan yang dijanjikan ialah mewartakan tanah adat Orang Asli dan menaik taraf sosioekonomi Orang Asli menerusi penyediaan pendidikan berkualiti dan latihan kemahiran.

Ab. Aziz berkata, kerajaan BN (Pusat) sebelum ini telah melakukan banyak perubahan kemajuan di perkampungan masyarakat berkenaan termasuk membina rumah yang lebih selesa, kemudahan bekalan air terawat dan bekalan elektrik 24 jam.

Beliau mengingatkan, masyarakat berkenaan supaya tidak mudah terpengaruh dengan janji pembangkang kerana sejarah 28 tahun telah membuktikan banyak janji mereka tidak tunaikan. – 1 Mei 2018.