Tidak Boleh Tegakkan Pendapat Kumpulan Diwakilinya Sahaja – Nik Omar

Di sebalik pertembungan ideologi politik yang mewarnai politik Kelantan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini, calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Cempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz menyeru rakyat agar berfikiran lebih terbuka.

Katanya, semua pihak perlu merai serta menghormati pandangan orang lain dan tidak boleh menegakkan pendapat kumpulan yang diwakilinya sahaja.

“Kalau kita rasa kita berpegang dengan Islam, kita nak mendaulatkan Islam, itu satu kebaikan. Dalam masa sama, kita kena rai juga pandangan orang lain.

“Kerana itu kita perlu berfikiran terbuka dalam menerima mana-mana kumpulan yang membawa pendekatan Islam walaupun berbeza pandangan,” katanya dalam program Bicara Ikon Harapan yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Naib Presiden PAN Husam Musa.

Nik Omar, anak kedua bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencetuskan kontroversi apabila memilih untuk bertanding calon PH mewakili DUN Cempaka dalam PRU14 ini.

Keputusan itu sekali gus bertentangan dengan pendirian keluarganya sebagai pendokong utama kekuatan PAS khususnya di Kelantan.

Nik Omar berdepan dengan pertandingan tiga penjuru di Cempaka menentang Mohamed Fareez Noor Amran (BN) dan Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad (PAS). – 1 Mei 2018.