Keluar PAS, Bukan Keluar Islam – Nik Omar

Anak kedua bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar menerima keputusan PAS yang memecat keahliannya berkuatkuasa serta-merta pada hari penamaan calon Sabtu lalu.

Bagi beliau, tindakan itu tidak memberi sebarang kesan kepadanya kerana keluar PAS bukan bererti keluar agama.

“Ambo (saya) tidak ada apa, ambo bukan keluar daripada agama. (Tetapi) keluar daripada organisasi. Organinasi ini tak kekal,” katanya selepas menghadiri ceramah Pakatan Harapan di Ketereh malam tadi.

Malah kata Nik Omar, arwah ayahnya yang juga  bekas menteri besar Kelantan tidak meletakkan PAS mengatasi perjuangan.

“Tok Guru (Nik Abdul Aziz) pernah sebut, kalau UMNO tukar dasar, PAS terbubar dengan sendiri. Macam mana boleh terbubar kalau benda itu dasar? Maknanya ini (parti) hanya alat atau wadah, jadi bertukar tidak ada masalah.

“Dan dalam hal ni ambo tak keluar (PAS), tetapi ambo dipecat, tidak ada masalah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, keputusannya untuk bertanding calon Pakatan Harapan telah dimuktamadkan sejak sebulan yang lalu selepas melalui pelbagai proses pertimbangan yang wajar.

“Kita berdoa kepada Allah, minta Allah tunjuk isyarat macam mana. Jadi dan sampai satu saat, kita buat keputusan,” katanya. – 2 Mei 2018.