Peluang Cerah Tawan Kelantan

Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang untuk merampas Kelantan daripada PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) asal tidak dicemari budaya ‘cah keting’.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, UMNO atau BN yang diterajui Datuk Seri Mustapa Mohamed kini semakin kuat selain momentum perubahan rakyat terus meningkat.

“UMNO bukan sahaja seperti masa dahulu, tetapi bertambah kuat, semangat pun tinggi. Cuma yang menjadi kebimbangan ialah masalah ‘cah keting’.

“Kita perlu elak budaya ini kerana momentum yang ada hari ini menunjukkan kita mempunyai peluang yang cerah untuk merampas Kelantan pada PRU14,” katanya dalam temubual eksklusif bersama sebuah akhbar di Kuala Lumpur.

Tengku Razaleigh yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li, pada PRU14 ini akan mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang yang disandangnya sejak 1969.

Beliau akan ditentang Mohd. Nor Hussin daripada calon PKR dan Abdullah Hussein (PAS).

Pada pilihan raya umum lalu, Tengku Razaleigh menewaskan calon PAS dengan majoriti 8,413 undi.

Mengulas lanjut, beliau tidak menafikan budaya ‘cah keting’ masih wujud, yang menjadi duri dalam daging, namun ianya mungkin tidak serius berbanding sebelum ini. – 3 Mei 2018.