Nik Omar Terima Tentangan, Ibu Kempen PAS

Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak mula turun berkempen bagi membantu kemenangan calon PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cempaka, iaitu satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Pengkalan Chepa.

Perkembangan itu sekali gus menyaksikan tentangan hebat terhadap anaknya sendiri, Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai calon yang mewakili Pakatan Harapan (PH) di DUN berkenaan.

Tuan Sabariah berkata, beliau tetap berpegang kepada pesanan Allahyarham suaminya yang juga bekas Musyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa tiada parti yang lebih baik berbanding PAS.

“Ambo (saya) bukan mari untuk ceramah, tapi diminta bercakap. Pilihan raya tak lama dah, ambo rasa biarlah kita kekal dengan apa yang tok guru (Nik Abdul Aziz) tinggal.

“Baru-baru ini, orang kata keluarga saya berpecah. Saya anak ada 10 orang, hanya seorang saja yang ‘monteng’ ke lain (tidak sehaluan),” katanya seperti video yang disiarkan Facebook Dewan Muslimat PAS Pengkalan Chepa.

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ditetapkan pada 9 Mei ini.

Nik Omar bakal berdepan saingan tiga penjuru menentang penyandang kerusi tersebut Ahmad Fathan Mahmood daripada PAS dan Ahmad Fareez Nor Amran (BN). – 3 Mei 2018.