Ada Juga Orang Mimpi Jumpa Tok Guru, Di Belakangnya Gambar Mahathir

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Cempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz mencuit hati orang ramai ketika memberi reaksi mengenai cerita mimpi presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam reaksi ringkasnya mengenai perkara itu beliau berkata, selain Abdul Hadi, ada juga orang lain bercerita pernah berjumpa dengan Allahyarham ayahnya dalam mimpi.

“Mungkin sekarang semua orang sedang dalam musim mimpi. Ambo (saya) nak jawab ringkas, ada ore (orang) viral kata dia mimpi tok guru juga.

“Dalam mimpi tu juga, dia kata ada jumpa tok guru, tengok tok guru relax je (sahaja) dia jalan. Pakai baju t-shirt je.

“Cumo yang dia pelik, belakang tu ada gambar Mahathir” katanya sambil ketawa yang sekali gus turut mengundang gelak ketawa penyokongnya dalam satu progam Pakatan Harapan di Shah Alam.

Nik Omar bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada ceritanya itu hanyalah gurauan atau sebaliknya.

Abdul Hadi sebelum ini dilaporkan berkata, berjumpa Allahyarham Nik Abdul Aziz dalam mimpi berjalan dengan kaki sebelah.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mentafsir mimpi berkenaan sebagai petanda bahawa Nik Omar akan menyertai PH dan bertanding dalam PRU14.

Kisah mimpi berkenaan dilapor media sehari selepas Nik Omar sah menjadi calon PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Turut memberi reaksi berkenaan mimpi itu ialah bekas menteri UMNO, Tan Sri Zainuddin Maidin yang mendakwa bermimpi bekas Mursyidul Am PAS itu kehilangan kedua-dua belah kakinya.

Beliau mentafsir mimpinya itu sebagai petanda bahawa semua ahli PAS akan menyokong penuh Nik Omar pada 9 Mei ini. – 3 Mei 2018.