Itulah Demokrasi, Seorang Ibu Tetap Sayangkan Anaknya Kata Nik Omar

Biarpun diserang bertubi-tubi selepas kontroversi kerana membawa wadah perjuangan berbeza daripada Allahyarham ayahnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar terus tampil dengan sikap profesional dan lebih berhemah.

Penampilan calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cempaka itu sedikitpun tidak menggambarkan beliau mengamalkan politik caci maki malah tidak juga pernah memburukkan wadah perjuangan parti lain.

Malah, segala bentuk serangan dan provokasi terhadapnya dijawab dengan penuh berhikmah sesuai dengan syariat Islam yang menuntut umatnya bersikap dengan sikap wasatiyyah.

Ia terbukti, ketika ada yang menganggap tindakan ibunya Tuan Sabariah Tuan Ishak yang turun berkempen bagi membantu kemenangan calon PAS di DUN Cempaka adalah bertujuan menentangnya, beliau menganggap itu adalah demokrasi.

Bahkan, sebagai seorang anak, beliau akan sentiasa mendoakan ibu bapanya dan tetap menganggap ibu tetap menyayangi anaknya.

“Dia tak berkempen menentang ustaz (Nik Omar) insha Allah. Apa yang dilakukan itu kita boleh sebut demokrasi dalam negara, sebagai rakyat diberi pilihan.

“Tapi ambo (saya) sebagai anak, ambo tetap doa sokmo-sokmo (selalu) pada ayah, mak ambo sebagaimana orang lain doa pada mak ayah dia.

“Seorang ayah, seorang mak kalau belah-belah mana pun (walau macam mana pun) anak dia, kalau anak dia terlibat dengan dadah pun, mereka tetap sayang apatah lagi ambo, insyaAllah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Tuan Sabariah yang turun berkempen untuk calon PAS di DUN Cempaka malam semalam.

Nik Omar bertindak radikal memecah tradisi wadah perjuangan ayahnya yang juga bekas Mursyidul Am PAS dengan menyertai PAN pada hari penamaan calon 28 April lalu.

Susulan itu, beliau dipecat keahlian PAS berkuat kuasa serta merta langsung diserang dengan pelbagai bentuk termasuk daripada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang hampir menyamakan Nik Omar dengan anak nabi Nuh.

Adiknya sendiri Nik Mohamad Abduh juga turut melempar kritikan pedas selepas kontroversi itu dengan berkata “siapa kita tanpa bonda? Sekadar air mani terbuang hina”. – 4 Mei 2018.