Kepak Desak AKSB Pecat Ketua Jabatan Modal Insan

Ahli Kesatuan Pekerja-pekerja Air Kelantan (Kepak) tampil secara terbuka membantah Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) yang didakwa melanggar perjanjian kolektif sejak Oktober 2010.

Malah, difahamkan kira-kira 200 ahli kesatuan tersebut turut mendesak AKSB memecat Ketua Jabatan Modal Insan syarikat milik kerajaan negeri itu berikutan krisis yang berlarutan dan gagal diselesaikan sehingga kini.

Pelanggaran itu dipercayai membabitkan petukaran kakitangan tanpa notis, lewat membayar kenaikan gaji tahunan dan gagal membayar tunggakan kebelakang elaun lebih masa, dobi, syif dan sebagainya.

Kata sumber, itu adalah sebahagian daripada masalah atau pelanggaran yang dilakukan dan ada lagi beberapa masalah lain yang dilihat tidak adil.

“Termasuklah mengenakan siasatan terpilih dalam siasatan dalaman melibatkan pemimpin Kepak,” katanya semasa ditemui hari ini.

Semalam tular di media sosial ahli kesatuan berkenaan mengadakan perhimpunan aman di hadapan pejabat AKSB yang terletak di bangunan Perbadanan Menteri Besar Kelantan di Jalan Kuala Krai, Kota Bharu.

Menurut sumber itu, Kepak telah merujuk isu tersebut kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub sejak tahun lalu namun belum ada sebarang tindakan diambil.

“Sikap membisu kerajaan negeri itu sangat mengecewakan ahli Kepak. Kepak mahukan urustadbir Jabatan Modal Insan Air Kelantan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih adil dan berkesan,” katanya lagi.

Katanya lagi, Kepak tidak akan berhenti daripada melakukan bantahan tersebut selagi masalah yang membelenggu mereka tidak dapat diatasi secara adil. – 4 Mei 2018