Nik Omar, Nik Abduh Pernah Ditolak Calon PRK Cempaka

Dua anak lelaki tokoh PAS Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar dan Nik Abduh pernah ditolak cadangan untuk calon Pilihan Raya Kecil (DUN) Cempaka pada 2015.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Husam Musa berkata, selepas Nik Abdul Aziz meninggal, PAS mencadangkan agar Nik Abduh sebagai calon di kerusi tersebut.

“Namun Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menolak keras dengan alasan Nik Abduh sudah mempunyai kerusi Parlimen PAsir Mas.

“Saya nasihatkan Mohd. Amar tidak bercakap bohong bagi mengelak lebih banyak perkara yang terbongkar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah PH di Tanjung Mas, Kota Bharu Kelantan.

Husam turut mendakwa, Nik Abduh kalah merebut jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan berkenaan pada 2017 disebabkan’orang’ Pengkalan Chepa anti Nik Abdul Aziz.

Terdahulu, Husam dibidas Mohd. Amar dengan mendakwa beliau juga terbabit dalam pemilihan calon PRK DUN Chempaka dan tidak memilih Nik Omar ketika itu.

Malah, Husam pernah dilaporkan mendakwa PAS tidak memberi peluang kepada Nik Omar untuk bertanding di Parlimen Pengkalan Chepa sebagai calon parti Islam itu pada PRU14 ini.

Cempaka merupakan satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Pengkalan Chepa yang menjadi kerusi tradi milik Nik Abdul sejak 1995. – 4 Mei 2018.