Kolej Komuniti Jeli Kedua Terbesar Di Kelantan

Kolej Komuniti Jeli yang akan dibina dalam tempoh terdekat ini bakal menjadi cawangan kedua terbesar di negeri Kelantan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tender projek membabitkan kos kira-kira RM30.5 juta itu akan dimuktamadkan dua minggu lagi.

“Dan pembinaannya dijangka siap dalam tempoh dua tahun,” katanya selepas Majlis Pecah Tanah Kampus Kolej Komuniti Jeli di Bukit Bunga, Jeli Kelantan hari ini.

Mustapa berkata, kolej berkenaan akan dibina di atas tapak seluas 3.2 hektar bakal memiliki kampus serba canggih, lengkap dan selesa.

Menurutnya, Kolej Komuniti Jeli kini mempunyai kira-kira 200 pelajar dan menawarkan dua kursus utama iaitu pastri serta fesyen.

“Bukan perkara mudah untuk dapatkan tapak ini dan kita mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi. Akhirnya perjuangan kita selama 12 tahun berjaya,” katanya.

Sebelum ini, Kolej Komuniti Jeli yang telah beroperasi selama 12 tahun dengan hanya menyewa lot kedai. – 5 Mei 2018.